Trump cari penganti hakim Mahkamah Agung - Utusan Malaysia

Trump cari penganti hakim Mahkamah Agung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 28 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, pihaknya sedang melaksanakan proses mencari pengganti Hakim Mahkamah Agung, Anthony Kennedy yang bakal bersara 31 Julai ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut portal berita BBC, Kennedy, 81 merupakan hakim konservatif yang sering memihak kepada kumpulan liberal dalam banyak undian keputusan Mahkamah Agung yang dibarisi sembilan anggota itu.

Persaraan beliau dilihat memberi peluang kepada Trump mengalihkan keseimbangan tertinggi pengadilan kepada haluan kanan untuk beberapa dekad akan datang.

“Kami perlu memilih seorang pengganti yang mampu memegang jawatan tersebut selama 40 tahun hingga 45 tahun,” kata Trump pada perhimpunan di North Dakota.

Kennedy membuat pengumuman itu semalam dan menjelaskan beliau mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya selepas 30 tahun memegang jawatan tertinggi di mahkamah AS itu.

Trump turut memuji Kennedy yang bertanggungjawab membuat undian penting dalam banyak kes utama sebagai tunggak keadilan di Mahkamah Agung AS.

“Diharapkan kami akan memilih seseorang yang akan memberikan prestasi cemerlang seperti Kennedy.

“Beliau memilih untuk bersara ketika saya memegang jawatan Presiden kerana beliau sendiri yakin saya akan membuat pilihan tepat bagi meneruskan legasi kecemerlangannya” kata Trump kepada pemberita di White House.

Trump telah memilih hakim Mahkamah Agung sebanyak dua kali sejak menjadi Presiden dan beliau menegaskan akan mencari pengganti daripada senarai 25 calon konservatif yang sama ketika memilih Neil Gorsuch Februari tahun lalu.

Mahkamah Agung memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat AS dan sering membuat keputusan akhir bagi undang-undang yang menjadi perdebatan, perselisihan di antara negeri dengan kerajaan persekutuan dan hukuman mati.

Minggu ini, mahkamah mempertahankan larangan perjalanan oleh Trump melibatkan beberapa negara majoriti Islam, dalam keputusan majoriti 5-4 sementara awal bulan ini mahkamah tersebut memutuskan untuk memihak kepada pembuat roti yang enggan membuat kek perkahwinan kepada pasangan gay di Colorado.

Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell berkata, undian mengenai calon pilihan Trump untuk menggantikan Kennedy akan dibuat pada musim luruh ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini