Obor-obor, APM ingatkan pengunjung kenal pasti kawasan pantai - Utusan Malaysia

Obor-obor, APM ingatkan pengunjung kenal pasti kawasan pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 Jun – Orang ramai yang mahu menjalankan aktiviti air dan pantai di sekitar Pulau Langkawi dinasihatkan supaya hanya berbuat demikian di kawasan yang diselia oleh pengawal pantai Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi memudahkan sebarang bantuan kecemasan disalurkan secepat mungkin sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah APM negeri Leffenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, kematian lelaki warganegara Sweden, Sohrabi Saeed, 60, akibat disengat obor-obor di Pantai Tanjung Rhu semalam wajar dijadikan pengajaran supaya kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Kejadian itu merupakan sesuatu yang di luar jangkaan dan menyukarkan usaha menyelamat kerana tiada pasukan penyelamat pantai di situ selain lokasi berkenaan tidak diselia oleh pengawal pantai APM.

“Ketika ini tidak ramai yang memberi perhatian terhadap ancaman obor-obor maka risiko disengat menjadi semakin tinggi. Oleh itu kami menasihatkan supaya pelancong dan orang awam hanya menggunakan pantai diselia sepenuhnya seperti di Pulau Payar, Pantai Chenang, Pantai Tengah serta Pantai Merdeka untuk tujuan riadah dan rekreasi air,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 semalam, Sohrabi maut di lokasi kejadian tidak berapa lama selepas dia disengat oleh obor-obor dengan klip video menunjukkan beliau diberi bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) menjadi tular di laman sosial.

Mengulas lanjut katanya, di kawasan-kawasan yang diselia APM, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berjadual bagi mengelakkan hidupan marin berbisa dan merbahaya seperti obor-obor, landak laut, tapak sulaiman serta jerung masuk ke kawasan rekreasi awam.

“Jika sebarang bahaya dikesan, bendera merah akan dinaikkan di menara kawasan penyelamat pantai, pengumuman akan dibuat, wisel ditiup dan orang ramai akan diarah naik ke kawasan selamat serta-merta,” katanya.

Sementara itu katanya, statistik selama tiga tahun iaitu antara 2016 hingga 2018 menunjukkan kes serangan obor-obor sering berlaku pada bulan Januari, Mei, Jun, Julai dan Disember.

“Pada tahun lalu, kami merekodkan sebanyak 31 ke sengatan obor-obor manakala untuk tahun ini pula, sebanyak 21 kes dicatatkan sehingga Mei lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini