Detik memeritkan buat seluruh bola sepak Jerman - Utusan Malaysia

Detik memeritkan buat seluruh bola sepak Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAZAN 28 Jun – Mats Hummels mengakui, penyingkiran juara bertahan, Jerman pada peringkat kumpulan Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 80 tahun adalah sesuatu yang memeritkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata tonggak pertahanan itu lagi, tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kekecewaan mereka selepas dikejutkan 2-0 oleh Korea Selatan hari ini, sekali gus menghuni tangga tercorot Kumpulan F.

“Ia adalah petang yang sangat, sangat memeritkan buat kami.

“Situas ini sukar diterjemahkan dalam bentuk kata-kata,” kata Hummels kepada penyiar televisyen Jerman, ZDF.

Menurut Hummels, pasukannya gagal menembusi gawang lawan biarpun memperoleh banyak peluang, termasuk dirinya sendiri yang gagal menanduk bola di depan pintu gol lawan pada minit ke-86.

“Saya pernah menjaringkan gol dalam situasi begitu, tetapi ia tidak berlaku hari ini.

“Hari ini adalah hari yang sangat mengecewakan buat kami dan seluruh peminat bola sepak Jerman.

“Saya percaya, kami telah berjuang habis-habisan sehingga ke wisel penamat, tetapi kami tidak mampu memasukkan bola ke gawang,” katanya lagi.

Jerman, juara dunia empat kali melayakkan diri ke Rusia dengan rekod sempurna apabila mencatat 10 kemenangan, namun Hummels berkata, kali terakhir pasukan itu bermain baik adalah ketika kempen kelayakan tahun lalu.

Masalah skuad Die Mannschaft sudah boleh dikesan sejak awal lagi apabila mereka tumpas 0-1 kepada Mexico pada perlawanan pembukaan dan memerulan jaringan waktu kecederaan Toni Kroos untuk menewaskan Sweden 2-1 pada aksi kedua.

Dalam aksi di Kazan Arena hari ini, mereka masih mampu mengekalkan kedudukan 0-0 sehingga minit ke-90, namun dihukum oleh dua jaringan waktu kecederaan Korea Selatan yang disempurnakan oleh Kim Young-gwon dan Son Heung-min.

Ini adalah kali pertama mereka gagal melepasi peringkat kumpulan sejak 1938. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini