NIZHNY NOVGOROD, Rusia 28 Jun – Switzerland terpaksa melupakan khidmat Stephan Lichtsteiner dan Fabian Schar dalam aksi kalah mati menentang Sweden di Stadium Saint Petersburg pada 3 Julai ini selepas kedua-dua pemain itu digantung perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning sepanjang kempen peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic menegaskan dia tidak menyesalkan menurunkan kedua-dua pemain tersebut dalam aksi terakhir Kumpulan E menentang Costa Rica yang berkesudahan terikat 2-2.
“Kami tidak pasti dengan senario yang bakal dihadapi dan sebab itu saya menurunkan pemain terbaik, pastikan mereka beraksi dengan baik. Pusingan 16 pasukan terakhir adalah objektif minimum yang telah kami tetapkan.
“Mereka melakukan kesalahan di bahagian pertahanan dan malangnya menerima kad kuning namun kami ada 23 pemain dalam skuad dan saya gembira kerana mereka boleh dipercayai.
“Saya yakin semua pemain yang bakal diturunkan nanti akan memberi 120 peratus malah saya fikir pasukan dapat menerimanya. Malang untuk mereka berdua namun sudah terlewat untuk menyesal,” kata Petkovic. – REUTERS











