MELAKA 28 Jun – Kerajaan negeri menerusi Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Ketua Menteri Melaka akan menganjurkan pertandingan mencipta logo ‘Melaka Berwibawa’ dengan slogan ‘Pintar, Hijau dan Bersih.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, para peserta berpeluang merebut hadiah utama berjumlah sebanyak RM5,000 serta 10 hadiah saguhati sebanyak RM500.
Sementara itu, beliau memberitahu, Hari Bersama Rakyat Perdana akan dijadikan sebagai agenda setiap suku tahun (empat kali setahun) dengan semua Exco kerajaan negeri akan hadir untuk bertemu rakyat bersama-sama Ketua Menteri pada hari Jumaat seperti yang akan ditetapkan di Seri Bendahara.
“Semua Exco akan berada di Seri Bendahara dari pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, manakala sesi petang akan diwakili oleh Pegawai Khas Exco masing-masing.
“Hari Bersama Rakyat Perdana yang pertama dicadang diadakan pada 17 Ogos depan di Seri Bendahara dan selain daripada itu, Jabatan Tenaga Kerja dan Jobs Malaysia juga akan membuka kaunter perkhidmatan pada hari tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akbar pasca mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











