KUALA LUMPUR 28 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap dengan keputusan menutup operasi bazar musim perayaan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India berkuat kuasa tahun hadapan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, penutupan itu kekal seperti yang diputuskan sebelum ini namun tidak melibatkan operasi bazar pasar malam di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan untuk mengelak isu-isu berulang seperti masalah penjaja haram, pengurusan sampah dan kesesakan lalu lintas di tapak bazar.
Justeru katanya, peniaga tidak berhak untuk mempersoalkan keputusan DBKL memandangkan penganjuran bazar berkenaan tidak bersifat kekal.
“Ketika 10 hari terakhir pada bulan Ramadan lalu, kawasan itu seperti dikuasai oleh kumpulan penjaja haram.
“Berlaku juga pergaduhan antara penguat kuasa DBKL dan orang ramai,’’ katanya dalam Majlis Mesra Aidilfitri Kuala Lumpur di sini hari ini.
Selain itu katanya, masalah juga melibatkan pengurusan persatuan penjaja dan proses cabut undi yang dilakukan secara tidak teratur dan tidak adil.
“Perkara ini akhirnya menyusahkan banyak pihak dan DBKL tidak mahu ia terus berlaku. Demi kebaikan semua pihak baiklah ia ditutup.
“Keputusan kami ini turut mendapat sokongan semua pemilik premis perniagaan di Jalan Masjid India yang membantah penganjuran bazar perayaan di situ,’’ tambahnya.
Sehubungan itu menurut Mhd. Amin Nordin, peniaga dan penjaja yang terlibat boleh mula mencari lokasi baharu dengan syarat mendapat persetujuan pemilik tapak dan wakil rakyat terlibat.
“Setakat ini bazar di tempat lain tidak bermasalah, cuma di Jalan Masjid India dan Jalan TAR sahaj,” katanya. – UTUSAN ONLINE











