PORT DICKSON – Dua anggota tentera yang dirawat di Hospital Taiping, Perak akibat dihempap sebatang pokok besar sewaktu bertugas dalam operasi di hutan Royal Belum di Perak, Isnin lalu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, kedua-dua anggota, Mohd. Haizol Kamsiran dan Willian Nisau Anak Atong masing-masing berusia 30-an mengalami patah tulang pinggul dan tulang belakang.
“Bagaimanapun, keadaan mereka kini stabil
setelah menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir Sambutan Hari Raya Kem Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat dan Pelancaran Sambungan WiFi Berkelajuan Tinggi di kem itu di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.40 malam, 25 Jun lalu, dua lagi anggota tentera yang menyertai operasi Kota Echo/Foxtrot, Koperal Mohd. Safuan Hassan, 30, dan Lans Koperal Fahrurozi Abd. Manaff, 32, maut di lokasi kejadian akibat dihempap pokok sama.
Kejadian berlaku ketika kesemua mangsa sedang tidur di dalam khemah.
“Tentera Darat sedang mengusahakan segala bentuk pampasan dan bantuan serta kelayakan yang boleh diperolehi mengikut peraturan sedia ada bagi membantu ahli keluarga mangsa yang terkorban dan cedera,” katanya. K! ONLINE











