KUALA LUMPUR 28 Jun – Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menempelak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengisytiharkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) setelah parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
![]() |
|
IDRIS AHMAD
|
Beliau berkata, tindakan Syed Abu Hussin Hafiz itu seolah-olah mengkhianati amanah para pengundi di Bukit Gantang yang telah memilihnya kerana parti yang diperjuangkan.
Malah, jelasnya, Syed Abu Hussin Hafiz juga telah menabur pelbagai janji manis kepada para pengundi di sana.
“Akhirnya pukul 4 petang, Syed Abu Hussin Hafiz isytihar keluar UMNO dan jadi ahli Parlimen Bebas. Janji bulan dan bintang sewaktu pilihan raya, saya hendak tunggu 100 hari untuk edar janji khawasul khawas kepada pengundi Bukit Gantang supaya pengundi tuntut janji. Tiba-tiba dah isytihar keluar,” katanya dalam Facebook di sini hari ini.
Semalam, Syed Abu Hussin Hafiz umum keluar BN serta UMNO dan akan menjadi wakil rakyat bebas berkuat kuasa Ahad ini selain turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, keputusan paling menyedihkan itu terpaksa dibuat kerana ingin memberikan peluang kepada mereka yang lebih mampu memimpin UMNO Bukit Gantang.
Tambah Idris, walaupun dia tewas kepada Syed Abu Hussin Hafiz dalam PRU-14 di Bukit Gantang, tetapi beliau tetap bersama-sama masyarakat di sana.
Jelasnya, beliau tetap menghadiri majlis kenduri, menziarahi jenazah dan memberi bantuan sekadar yang mampu.
“Saya tidak ada apa-apa. Walaupun kalah, tetap bersama masyarakat di majlis kenduri, ziarah jenazah dan beri bantuan sekadar yang mampu. Duduk di Kampung Sungai Petai. Seronok, rumah depan surau. Masih kuliah macam biasa, bimbing masyarakat kenal agama. Tenteram dan tenang. Tak adalah pula untuk tukar parti. Insya-Allah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE












