Lelaki temui ajal, motosikal ditunggangi dirempuh Perodua Alza - Utusan Malaysia

Lelaki temui ajal, motosikal ditunggangi dirempuh Perodua Alza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Alza di Jalan Residen off Kilometer 1 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Azhar Medhi, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Perodua Alza yang dipandu wanita berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di jalan berkenaan sebelum merempuh motosikal mangsa di laluan bertentangan.

Menurutnya, insiden itu juga mengakibatkan kenderaan yang dipandu wanita berkenaan merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Mangsa yang cedera parah maut serta-merta di lokasi kemalangan, manakala wanita itu hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, keadaan jalan raya adalah basah ketika kemalangan tersebut berlaku.

Katanya, Pegawai penyiasat trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan sudah merakam keterangan daripada pemandu Perodua Alza itu untuk membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini