KUALA LUMPUR 28 Jun- ‘Demam’ bola sepak sempena Piala Dunia kali ini berjaya menarik minat pelbagai golongan masyarakat seluruh dunia tanpa mengira latar belakang individu.
Malah ada yang sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata minat terhadap sukan tersebut walaupun individu berkenaan bukanlah warganegara pasukan yang bertanding.
Namun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, apa yang membimbangkan, prestasi pekerja dilihat agak merosot pada ketika ini terutama dalam aspek kehadiran.
Tegasnya, jumlah pekerja yang mengambil sijil cuti sakit (MC) juga bertambah ketika musim Piala Dunia 2018.
“Kita pernah membuat kajian membabitkan acara terbesar sebelum ini. Jika membabitkan perlawanan penting waktu pagi, jumlah MC meningkat berbanding hari biasa.
“Apa yang mendukacitakan, ada pula yang ponteng kerja sehingga menjejaskan produktiviti syarikat. Ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.











