SHAH ALAM – Penyanyi terkenal, Ziana Zain memberitahu tidak mempunyai masalah untuk terus bersabar bagi menyelesaikan kes perceraian dengan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, yang masih belum berkesudahan.
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk sebutan keputusan Jawatankuasa Pendamai yang diarahkan mahkamah awal Jun lalu berkenaan permohonan cerainya.
Namun begitu, hanya Ziana hadir bersama peguamnya, Yusfa Hanis Yusoff manakala Armin pula tidak menghadirkan diri tanpa sebarang pemberitahuan kepada mahkamah.
“Jika saya sudah bersabar selama 20 tahun, saya boleh sabar sedikit sahaja lagi untuk menoktahkan perkara ini mengikut prosedur yang ditetapkan mahkamah.
“Tiada apa yang saya harapkan melainkan semuanya diselesaikan dengan baik, itu sahaja,” ujar pelantun lagu Madah Berhelah itu.
Armin dan Ziana bernikah pada 9 Mei 1998.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. – K! ONLINE











