TEMPOH kira-kira 40 tahun dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah cukup untuk menceritakan pengalaman pahit manis termasuk penglibatan dalam operasi antara tahun 1970 sehingga penghujung 80-an.
Kenangan tersebut menjadi lebih bermakna bagi seorang pemimpin dengan mengimbau detik penugasan di saat penghujung karier sebagai Panglima Angkatan Tentera.
Bagi Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, beliau menyifatkan kenangan bertugas di kawasan Gerik, Perak pada ketika itu merupakan memori paling berharga yang akan disimpan sampai bila-bila.
Menurutnya, beliau masih ingat bagaimana bertugas pada bulan puasa dan ketika Hari Raya Aidilfitri waktu itu.
“Kami terpaksa menggigit lampu suluh ketika bersahur kerana suasana begitu gelap. Apabila tiba 1 Syawal pula kami biasanya akan duduk setempat untuk dua hari dan makan beramai-ramai. Jika ada bekalan segar dapatlah kami masak. Jika tidak hanya ‘ration’ sebagai juadah utama.
“Kadang-kala apabila kapal terbang sampai dan bersiap sedia untuk pulang selepas lebih dua atau tiga bulan di hutan, tiba-tiba kami diarahkan menyambung semula tugas,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Panglima di Markas Taktikal 749 Kem Sri Banding baru-baru ini.
Tambah Raja Mohamed Affandi lagi, beliau juga masih ingat bagaimana deretan helikopter Nuri yang bersiap sedia untuk ke kawasan operasi ketika bertugas di Kroh, Perak.
“Ada empat helikopter Nuri yang akan bersedia dalam satu-satu masa dan saya sering bertanya kepada seorang juruterbang bernama Kapten Chong sama ada membawa jasad yang terbunuh atau tubuh yang cedera setiap kali balik dari kawasan operasi.
“Malah, jika ada helikopter mahu mendarat kami bukan sahaja menjaga kawasan pendaratan, tetapi turut berkawal di kawasan berhampiran bagi memastikan keadaan benar-benar selamat,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata, keadaan di Markas Taktikal 749 Kem Sri Banding juga tidak seperti sekarang yang lengkap kemudahan asas.
“Dahulu, jeti berhampiran situ (Kem Sri Banding ) juga kawasan pendaratan bagi membawa balik anggota yang cedera atau jasad yang terkorban. Malah monumen kereta perisai yang dibom dan diletakkan di hadapan kem sudah cukup menceritakan segala pengorbanan tentera ketika itu,
“Bayangkan hanya cebisan kulit sahaja dikutip daripada kereta perisai itu. Itulah bukti pengorbanan warga ATM. Jika kita bangunkan tugu, ia masih tidak dapat menyamai pengorbanan mereka. Monumen itu juga merupakan satu pengabdian yang ‘ditulis’ wira negara,” katanya.











