SEBERANG PERAI – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah akan meminta UMNO di semua peringkat bahagian dan cawangan untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kegagalan menunaikan tanggungjawab dengan baik.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, perkara tersebut akan dilakukan sekiranya beliau dipilih menjadi Presiden UMNO pada pemilihan parti berkenaan pada Sabtu ini.
Menurutnya, permohonan maaf itu harus dibuat bagi memenangi semula hati rakyat yang telah menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Kalau saya terpilih dan dapat mempengaruhi ahli UMNO melalui satu konsensus, saya nak menganjurkan supaya kita minta maaf atas kesilapan-kesilapan kita (sehingga) menyebabkan mereka tolak UMNO, malah membenci kerana kita lalai serta melupakan tanggungjawab serta amanah.
“Saya anjurkan cawangan dan bahagian untuk minta maaf kepada rakyat supaya kita dapat semula kepercayaan dan ajak mereka untuk bersama dengan kita kerana itu (meminta maaf) budaya kita, budaya Malaysia,” katanya yang mesra dipanggil Ku Li.











