KUALA LUMPUR – Selepas mengambil masa selama 36 hari untuk membuat pengiraan jumlah barangan rampasan berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mendedahkan jumlah kesemua rampasan tersebut mencecah RM1.1 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, ia merupakan antara rampasan terbesar polis dalam sejarah negara.
Katanya, dalam pengiraan hasil serbuan ke atas enam premis yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, polis menemui sejumlah RM116.7 juta wang tunai dalam 26 jenis mata wang selain 12,000 barangan kemas.
Katanya, semua wang tunai itu disimpan dalam 35 daripada 72 bagasi yang dirampas di salah sebuah unit di Pavilion Residences, Bukit Bintang di sini dalam serbuan 16 dan 17 Mei lalu.
“Berdasarkan pengiraan bagi 35 beg dari Pavilion Residences dan sebahagian wang tunai dari kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur jumlah keseluruhannya mencecah RM116.7 juta dengan 26 jenis mata wang berlainan.
“Kami juga mengambil masa selama 16 hari untuk mengenal pasti nilai 12,000 barangan kemas yang diperoleh daripada 25 beg dengan pecahan 1,400 utas rantai, 2,200 bentuk cincin, 2,100 utas gelang, 2,800 pasang subang, 1,600 bentuk kerongsang dan 14 tiara dengan harga pasaran mencecah RM880 juta.
“Barang kemas yang paling mahal ditemui ialah seutas rantai emas bertatahkan berlian bernilai RM6.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Menara 238, Jalan Tun Razak di sini semalam.











