KUALA LUMPUR – Sunway Bhd. (Sunway) melalui unit pembangunan hartanahnya di Singapura, Sunway Developments Pte. Ltd. (SDPL), telah memeterai perjanjian jual dan beli dengan Hoi Hup Realty Pte. Ltd. (Hoi Hup) bagi melupuskan ekuiti 30 peratus yang dimilikinya dalam Hoi Hup Sunway Novena Pte. Ltd. (HHSN).
Transaksi tersebut dijangka melibatkan pertimbangan tunai S$39.9 juta (RM118 juta).
HHSN yang ditubuhkan pada Disember 2012, berperanan melaksanakan pembangunan Royal Square at Novena yang terdiri daripada sebuah hotel, unit perubatan dan peruncitan.
Projek yang telah siap 12 Julai 2017 itu mencatatkan keuntungan terkumpul sebanyak S$132.5 juta (RM392 juta).
“Cadangan penjualan itu menandakan siapnya projek ini dan akan membolehkan syarikat melepaskan dan menjana keuntungan daripada pelaburannya dalam HHSN.
“Syarikat juga akan menggunakan hasil tersebut untuk projek baharu, selain membeli simpanan tanah baharu untuk mengukuhkan kedudukan pembangunan hartanahnya di Singapura,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Tambah syarikat, cadangan tersebut dijangka dimuktamadkan pada 30 Jun depan.
Selain itu, syarikat turut terlibat dalam pemerolehan projek kediaman Brookvale Park bernilai S$530 juta (RM1.6 bilion) yang terletak di tanah pegangan bebas utama di Clementi, Singapura.
“Cadangan pembangunan semula tapak itu akan dilaksanakan oleh sebuah lagi jentera usaha sama milik Sunway dengan Hoi Hup Realty dan SC Wong Pte. Ltd.,” ujarnya.
Meskipun melupuskan pegangan dalam HHSN, Sunway akan mengekalkan setingkat ruang perubatan di Royal Square at Novena yang meliputi kira-kira 8,500 kaki persegi (790 meter persegi).
Ia bertujuan untuk mewujudkan kehadiran sulung Sunway Medical di Singapura.
“Disasarkan memulakan operasi menjelang akhir tahun ini, Sunway Medical Singapura akan terdiri daripada klinik dengan pengamal perubatan dalam pelbagai bidang pengkhususan dan sebuah pusat kesejahteraan,” ujarnya.











