JAKARTA – Berpuluh-puluh juta rakyat Indonesia menunaikan hak mengundi pada pilihan raya tempatan dikenali sebagai Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2018 semalam bagi memilih gabenor, wali kota atau datuk bandar dan ketua daerah untuk tempoh 2018-2023.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU), Pilkada kali ini melibatkan 115 Kabupaten atau daerah, 39 bandar dan 17 wilayah di Indonesia.
Menurut data KPU, seramai 152,057,054 pengundi layak mengundi pada Pilkada 2018 dengan lebih separuh daripada mereka tinggal di Pulau Jawa. Wilayah Jawa Timur sahaja mempunyai 47 juta penduduk, menyamai bilangan populasi Sepanyol.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi sebelum ini turut mengumumkan cuti umum semalam bagi membolehkan pengundi menunaikan hak mereka pada Pilkada 2018.
Polis dan tentera mengerahkan beribu-ribu anggota untuk memastikan keselamatan di pusat-pusat pembuangan undi seperti di sekolah, dewan orang ramai dan khemah.
“Kami melakukan operasi polis biasa dan kami telah mengerahkan seramai 171,000 anggota bersama pihak tentera,” kata jurucakap polis nasional, Setyo Wasisto.
Setakat semalam belum ada laporan mengenai kekacauan, manakala suasana festival kelihatan di pulau peranginan Bali di mana sebilangan pusat mengundi menampilkan tema Piala Dunia dengan pegawai-pegawai pilihan raya memakai jersi bola sepak.
Di tempat lain, pegawai pilihan raya turut menyarung kostum hantu untuk memeriahkan suasana pada hari mengundi.
Pengundian bermula seawal pukul 7.00 pagi hingga 1 petang semalam sebelum proses pengiraan undi dijalankan.
Pemerhati politik Indonesia melihat keputusan Pilkada 2018 bakal memberi gambaran pencalonan dan persaingan menjelang pilihan raya atau pemilihan Presiden Indonesia (Pilpres) yang akan diadakan pada tahun depan.
Sebilangan pemimpin Islam kini menggesa supaya rakyat menumbangkan Jokowi yang dijangka bertanding untuk penggal kedua.
Keputusan kukuh oleh penyokong Jokowi dalam Pilkada 2018 terutamanya di Jawa Timur, akan dapat meningkatkan peluang beliau dalam pertandingan yang dijangka menampilkan Jokowi dan jeneral bersara, Prabowo Subianto seperti pada Pilpres 2014.
Tinjauan pendapat mendapati calon-calon parti politik pro-Jokowi akan menang di beberapa wilayah utama seperti Jawa Barat, namun pemerhati politik akan memantau petanda pengaruh kumpulan-kumpulan Islam selepas pemilihan Gabenor Jakarta tahun lalu.
Seorang pengundi di Jawa Barat, Alif Perdana berkata, dia berharap suasana lebih tenang akan wujud menjelang Pilpres pada 2019.
Rakyat Indonesia merupakan pengguna aktif media sosial, manakala terdapat peningkatan berita palsu dan ucapan kebencian melibatkan isu kaum dan agama semasa kempen politik sebelum ini.
KPU dijangka mengumumkan keputusan rasmi Pilkada 2018 pada 9 Julai depan. – Bernama/AFP











