KALININGRAD – Belgium perlu berwaspada dengan amukan England yang menyasarkan status juara Kumpulan G Piala Dunia 2018 menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Kaliningrad awal pagi esok.
The Three Lions kini berada pada tahap terbaik selepas membelasah Panama 6-1 pada aksi kedua di Stadium Nizhny Novgorod, Ahad lalu yang menyaksikan penjaring terbanyak kejohanan setakat ini, Harry Kane berjaya meledak hatrik.
Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah kerana Belgium juga dilihat sukar untuk ditewaskan dan skuad The Red Devils itu turut menyasarkan status sebagai juara Kumpulan G untuk mara ke peringkat seterusnya.
“Kami tidak akan bermain untuk seri tetapi menang semua perlawanan termasuk aksi bertemu Belgium. Kalau kami mahu memasang impian besar untuk melangkah ke final, kami perlu menang semua perlawanan,” kata jurulatih England, Gareth Southgate
Meskipun menyasarkan status sebagai juara Kumpulan G, The Three Lions dikatakan tidak akan menurunkan skuad terbaiknya dan perkara sama juga bakal dilakukan Belgium yang sedia merehatkan penjaring utama mereka, Romelu Lukaku.
England yang pernah bergelar juara Piala Dunia 1966, pernah menewaskan Belgium 1-0 dalam satu-satunya pertemuan tunggal antara kedua-dua pasukan sewaktu aksi persahabatan antarabangsa enam tahun lalu.
Gol England ketika itu dijaringkan oleh Danny Welbeck yang turut dibawa oleh Southgate ke pentas Piala Dunia kali ini. – Agensi











