CALIFORNIA – Facebook memfailkan paten untuk sistem yang akan menggunakan algoritma pembelajaran mesin bagi mengetahui perubahan dalam kehidupan penggunanya.
Antara perubahan tersebut termasuk status perkahwinan, kelahiran, pekerjaan baharu, penambahan ahli keluarga, graduasi, malah kematian penggunanya.
Paten yang dibangunkan itu merupakan salah satu daripada koleksi yang menerangkan kajian data peribadi pengguna.
Melalui sistem tersebut, maklumat yang dikumpul akan membantu jenama-jenama untuk menyampaikan iklan yang berkaitan kepada seseorang pengguna dengan lebih berkesan dan tepat pada masanya, menurut paten yang pertama kali dilihat oleh akhbar New York Times.
Kebanyakan teknik ini hanya bergantung kepada data geolokasi telefon pintar untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengguna dan tabiat mereka.
Facebook juga memfailkan paten yang bertujuan untuk meramalkan aktiviti harian atau rutin pengguna menggunakan data sistem pengesan kedudukan global (GPS) telefon pintar mereka walaupun mereka tidak aktif di aplikasi media sosial itu. – Agensi











