Salur semula peruntukan – Zahid - Utusan Malaysia

Salur semula peruntukan – Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 27 Jun – Peruntukan kewangan bagi bahagian dan cawa­ngan parti akan disalurkan semula bagi memastikan UMNO di semua peringkat tidak ‘mati’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi menghidupkan kembali aktiviti dan program termasuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurut Ahmad Zahid, perkara tersebut bagaimanapun akan dilaksanakan jika beliau diberi mandat menjadi Presiden dalam pemilihan, Sabtu ini.

“Setiausaha Agung sebelum ini mengeluarkan surat pekeli­ling untuk menghentikan bantuan ini kerana kita mahu ketika itu bahagian-bahagian menghidupkan aktiviti melalui dana masing-masing.

“Tetapi ekoran kekangan kewangan di peringkat akar umbi, peruntukan dana di peringkat pusat akan disalurkan semula kepada UMNO bahagian dan cawa­ngan bagi menghidupkan program bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perjumpa­an tertutup dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian-bahagian Sabah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga calon Presiden berkata, peruntukan tersebut antara lain digunakan untuk perbelanjaan parti bagi menampung kos pentadbiran dan penggajian sekali gus menjalankan aktiviti seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Melihat kepada kemampuan kewangan di peringkat sayap dan bahagian yang tidak begitu kukuh, maka ibu pejabat mengambil tanggungjawab untuk meneruskan pemberian dana ini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau enggan mengulas mengenai rampasan polis di beberapa premis milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya.

“Saya serahkan semua siasatan tersebut kepada pihak berkuasa mengikut undang-undang negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini