KOTA KINABALU 27 Jun – UMNO Sabah akan diberikan kuasa autonomi khas dalam penentuan dan pentadbiran demi kelangsungan serta perubahan dalam parti.
Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut akan dilaksanakan jika beliau dipilih menjadi Presiden.
Beliau berkata, perkara tersebut dilakukan kerana melihat perbezaan antara Sabah dengan negeri lain di Semenanjung berdasarkan kepada sejarah pembentukan Malaysia.
“Saya mengambil maklum bahawa Sabah patut dihormati dan kita perlu mempraktikkan dalam politik. Perkara ini juga akan menjadikan UMNO Sabah berhak menentukan kepemimpinan parti dan pentadbiran di peringkat negeri.
“Selain itu, saya juga akan menambah satu jawatan Naib Presiden yang dipertandingkan tetapi khas untuk ahli UMNO dari Sabah yang akan mengendalikan bukan sahaja politik untuk Sabah, tetapi juga sebagai pemimpin kebangsaan dalam parti,” katanya ketika ditemui dalam majlis ramah mesra bersama Khairy Jamaluddin di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, langkah tersebut juga dilihat dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap parti khususnya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Saya memutuskan untuk melakukan ini kerana kita tidak mahu rakyat Sabah melihat UMNO sebagai sebuah parti yang ditadbir Semenanjung tetapi kita mahu mereka melihat UMNO Sabah adalah sebuah parti yang mampu mencapai aspirasi dan tujuan rakyat Sabah.
“Pendekatan autonomi UMNO Sabah kerana ingin mengubah persepsi ahli parti termasuk rakyat bahawa UMNO negeri tidak dikawal oleh UMNO Pusat,” ujarnya
Tambahnya turut mengetengahkan penentuan calon parti yang akan bertanding dalam PRU-15 ditentukan oleh UMNO negeri dan bahagian bukannya Presiden seperti dilakukan sebelum ini.
“Langkah ini bagi mengelakkan perletakkan calon parti yang tidak mendapat sokongan daripada rakyat tempatan,” ujarnya.











