Mahkamah Agung memihak Trump - Utusan Malaysia

Mahkamah Agung memihak Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 27 Jun – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memberikan Presiden Do­nald Trump ‘satu kejayaan besar’ sepanjang pentadbirannya apabila mengekalkan larangan perjalanan kepada beberapa negara majoriti Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mahkamah itu juga menolak hujah bahawa larangan tersebut mewakili diskriminasi agama yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Dalam keputusan 5-4 itu, de­ngan suara hakim-hakim konservatif membentuk majoriti berbanding hakim-hakim liberal, menamatkan ‘pertarungan se­ngit’ di mahkamah sama ada dasar itu adalah larangan ke atas orang Islam yang menyalahi undang-undang, sambil mengesahkan kuasa Presiden yang luas mengenai dasar keselamatan imigresen dan negara.

Trump sebelum ini berhujah bahawa langkah itu perlu bagi mencegah sera­ngan pengganas dan membolehkan kerajaan melak­sanakan prosedur penyelidikan lebih tegas.

Bagaimanapun, keputusan itu yang mendapat kritikan hebat oleh kumpulan hak asasi manusia dan Demokrat serta penunjuk perasaan di luar mahkamah, dilihat memberi kuasa kepada Trump ketika beliau terlibat dalam kontroversi mengenai pendekatannya terhadap isu-isu imigresen di sepanjang sempadan AS-Mexico.

Terdahulu, Mahkamah Agung berpendapat pencabar telah gagal untuk menunjukkan larangan perjalanan terbabit telah mencabuli sama ada undang-undang imigre­sen atau larangan pindaan pertama Perlembagaan AS ke atas kerajaan yang memihak kepada satu agama yang lain.

Dalam ucapannya di White House, Trump menegaskan keputusan itu sebagai ‘kemena­ngan besar kepada rakyat Amerika dan untuk Perlembagaan negara’.

“Amerika perlu jadi kuat, dan perlu selamat, dan perlu jadi selamat. Sekurang-kurangnya, kita perlu memastikan kita memeriksa mereka yang akan memasuki negara ini,” katanya.

Larangan kemasukan itu melibatkan rakyat dari Iran, Libya, Somalia, Syria dan Yemen selain dikuatkuasakan kepada dua negara lain iaitu Korea Utara dan sebahagian daripada pegawai kerajaan Venezuela serta ahli keluarga mereka.

Iraq dan Sudan merupakan negara yang disenaraikan dalam pe­rintah larangan sebelum ini.

Negara keenam majoriti penduduk Islam iaitu Chad telah di­padamkan daripada senarai itu pada April lalu selepas memperbaiki amalan perkongsian maklumat dan pengurusan identiti.

Beratus-ratus orang berkumpul di Foley Square, New York City bagi membantah keputusan tersebut.

Ramai yang memegang sepanduk berbunyi ‘Tiada larangan, Tiada tembok pemisah, Tiada sera­ngan, NY adalah untuk semua’.

“Keputusan itu akan terca­tat dalam sejarah sebagai salah satu kegagalan besar Mahkamah Agung,” kata Omar Jadwat, seorang peguam yang mencabar la­rangan tersebut. – REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini