LIMBANG 27 Jun – Seorang anak lelaki bertindak luar batasan dengan memukul ibunya sendiri setelah ditegur mabuk di rumah di Kampung Lubok Tuan di sini Sabtu lalu.
![]() |
|
KEADAAN mata ibu yang lebam akibat ditumbuk anak sendiri kerana menegur perbuatan kerap mabuk di rumahnya di Kampung Lubok Tuan, Limbang, Sarawak, baru-baru ini.
|
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa berusia 51 tahun lebam di mata kanan dan luka di dahi akibat dipukul anak lelakinya yang berusia 18 tahun.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Bukhori Saffai berkata, mangsa tersebut menegur kelakuan anaknya yang kerap mabuk sebelum suspek mengamuk dengan menendang meja makan dan merosakkan barang dapur.
“Suspek yang semakin tidak dapat dikawal kemudian menarik rambut anak saudaranya berusia tiga tahun di dapur.
“Bagaimanapun mangsa cuba menghalang suspek lantas ditumbuk di muka dan berlaku pergelutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Bukhori memberitahu, kakak suspek yang berada di tempat kejadian kemudian menghubungi polis ekoran bimbang suspek akan bertindak lebih ganas.
“Suspek kemudian melarikan diri dan mangsa bersama anak perempuannya pergi ke balai polis untuk membuat laporan sebelum mendapatkan rawatan susulan di Hospital Limbang.
“Polis kemudian mengesan suspek dan berjaya menahannya pada pukul 4 petang Isnin lalu dan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan reman,” ujarnya.
Tambah Mohd. Bukhori, suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 akta yang sama kerana sengaja mendatangkan kecederaan.












