Tentera terlibat jenayah kemanusiaan - Utusan Malaysia

Tentera terlibat jenayah kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 27 Jun – Beberapa pe­gawai kanan ketenteraan Myan­mar termasuk komander perkhidmatan pertahanan dan anggotanya perlu diheret ke muka pengadilan selepas didakwa terlibat dalam jenayah kemanusiaan terhadap etnik Rohingya di negeri Rakhine, menurut laporan dikeluarkan oleh Amnesty International.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amnesty International menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk merujuk laporan terbabit ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mengenakan sekatan senjata dan kewangan terhadap pegawai kanan tentera Myanmar.

Pertubuhan hak asasi manusia yang menjalankan siasatan sejak September lalu itu menegaskan, ‘operasi ketenteraan Myanmar telah dirancang untuk membunuh, merogol, menyeksa dan memusnahkan populasi masyarakat Rohingya di utara Rakhine serta menghalau mereka keluar dari negara itu’.

Laporan berkenaan turut menyebut Komander Perkhidmatan Pertahanan Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan timbalannya, termasuk komander tentera, Naib Jeneral Kanan Soe Win selain beberapa komander di unit tertentu ‘banyak melakukan kekejaman’.

Selain itu, laporan tersebut menamakan lapan lagi anggota tentera selain tiga anggota Polis Pe­ngawal Sempadan.

Amnesty International menjelaskan, kesemua yang terlibat itu perlu dibicarakan atas perbuatan mereka.

Dalam perkembangan ber­­kaitan, seorang pegawai kanan kerajaan Myanmar telah memberitahu diplomat Barat bahawa cadangan untuk meneliti undang-undang kerakyatan ke atas Ro­hingya ber­kemungkinan tidak dapat dilaksa­nakan.

Pada satu pertemuan di Copenhagen, Denmark pada 8 Jun lalu, Menteri Kebajikan Masyarakat Myan­mar, Win Myat Aye memberi­tahu sekumpulan diplomat, peng­analisis dan anggota suruhanjaya yang dipengerusikan oleh bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan bahawa lapan cada­ngan yang dibentangkan terma­suk salah satunya yang meminta Yangon untuk meminda undang-undang 1982, bakal menimbulkan masalah.

Sumber memberitahu, pemim­pin berkenaan memaklumkan cadangan tersebut tidak dapat dipenuhi segera, antara lainnya disebabkan oleh iklim politik semasa di Myanmar.

“Pemimpin itu dengan jelas membe­ritahu pindaan undang-undang berkenaan tidak boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Penasihat Keselamatan Kebangsaan Myanmar, Thaung Tun, pihaknya cuba melaksanakan cadangan suruhanjaya berkenaan dengan sebaik mungkin.

“Sebanyak 80 cadangan te­lah dilaksanakan dalam tempoh kurang 10 bulan,” menurutnya dalam e-mel yang dikirim kepada Reuters.

Terdahulu, PBB dan kerajaan Bangladesh telah mula mendaftarkan beratus ribu pelarian Rohingya yang melarikan diri ke sempadan negara itu sejak Ogos tahun lalu.

Langkah itu disifatkan akan membantu penghantaran pulang pelarian ke negara asal tidak lama lagi.

Program pendaftaran itu dimulakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Bangladesh bertujuan untuk memba­ngunkan pangkalan data pelarian yang tinggal di kem pelarian di selatan perairan Bangladesh.

Data berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini akan mempunyai maklumat berkaitan anggota keluarga pelarian dan butiran kelahiran serta bakal dikongsi dengan Myanmar. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini