SAUDARA PENGARANG, BEBERAPA hari yang lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan di dalam bahasa Mandarin, satu tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Di sebalik teguran dan protes rakyat, sama ada daripada ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan, kalangan ahli akademik dan netizen pelbagai bangsa dan latar belakang, beliau terus bersikap egois dan enggan memohon maaf bahkan menyatakan iltizam akan terus mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin.
Rakyat merasa amat tersinggung dan mula menyedari sesuatu yang tidak kena seperti adanya usaha untuk melaksanakan agenda Malaysian Malaysia secara kasar.
Adalah diharapkan agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung perbuatan tidak menghormati bahasa Melayu ini.
Sudah sampai masanya untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, menteri dan ketua jabatan kerajaan menguasai dan fasih berbahasa Melayu bagi membolehkan mereka membuat kenyataan rasmi kerajaan di dalam bahasa Melayu sepenuhnya menurut Akta Bahasa Kebangsaan.
CICIK LABU
Merlimau, Melaka











