Rayu campur tangan DBKL - Utusan Malaysia

Rayu campur tangan DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, BEBERAPA kes kecurian ‘brake calliper’ dan kabel ‘clutch’ motosikal berkuasa tinggi di Villa Wangsamas, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini membimbangkan para penghuninya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemilik motosikal yang menjadi mangsa sudah membuat laporan kepada polis dan badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri. Dalam hal ini, mereka yang menjadi mangsa menanggung kerugian besar.

Bagi pihak sekuriti dan polis, mereka sukar mengesan suspek berikutan kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada tidak mencukupi, manakala JMB pula seolah-olah lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab berikutan semua kenderaan yang diletakkan di situ adalah atas risiko sendiri.

Sehubungan itu, beberapa pemilik motosikal berkuasa tinggi di pangsapuri tersebut termasuk saya sendiri telah mengambil inisiatif menyewa satu petak letak kereta berhampiran pondok pengawal bagi mengelak kejadian sama berulang.

Malangnya, tindakan kami tidak disenangi oleh JMB yang mengugut mahu mengunci tayar motosikal atas alasan satu petak hanya boleh menempatkan sebuah kenderaan iaitu sebuah kereta atau sebuah motosikal.

Terbaharu, kami mungkin tidak dibenarkan untuk menyewa petak letak kenderaan itu lagi. Di manakah pertimbangan logik untuk menjaga keselamatan kenderaan yang ada di kondominium ini?

Sebagai penduduk, saya tertanya-tanya, sejauh mana selamatnya kami tinggal di situ? Meskipun setiap bulan membayar yuran penyelenggaraan termasuk pengawal keselamatan tetapi tiada jaminan yang harta benda kami akan selamat.

Seperkara yang agak menghairankan ialah pihak pengurusan dan juga sekuriti memahami masalah ini tetapi bukan dalam kalangan JMB. Saya tidak tahu di mana perginya sikap keprihatinan mereka dalam hal ini.

Sama ada dapat ditangkap pencurinya pun belum boleh dijawab kerana sukar dibuktikan kecuali dapat ditangkap semasa mencuri. Apakah langkah-langkah keselamatan tambahan yang diambil JMB untuk mencegah masalah ini?

Sekiranya belum ada tenaga pengawal serta CCTV pula tidak mencukupi, adakah kami terpaksa membiarkan sahaja alat ganti motosikal terus dicuri kerana diletakkan di tempat berisiko tinggi?

Kami telah menulis e-mel kepada JMB dan berulang kali meminta untuk berjumpa bagi menyelesaikan masalah ini tetapi langsung tidak diendahkan.

Sehubungan itu, kami merayu kepada pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap JMB terbabit demi keselamatan penduduk.

POPEYE

Wangsa Maju

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini