Tahap kesedaran majikan masih rendah - Utusan Malaysia

Tahap kesedaran majikan masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 27 Jun – Walaupun kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati kes penyakit dan keracunan pekerjaan lebih kerap berlaku berban­ding kemalangan di tempat kerja, tahap kesedaran majikan dan pemain industri mengenainya masih berada di paras rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zailee Dollah

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir. Zailee Dollah berkata, ke­adaan itu menyebabkan kurangnya laporan tentang penyakit dan keracunan pekerjaan di negara ini.

Beliau berkata, tujuan utama pelaporan adalah bagi memboleh­kan pihak­nya menentukan punca berlaku kemalangan atau penyakit pekerjaan agar tindakan pencegahan dapat diambil supaya tidak berulang.

“Berdasarkan kajian ILO, nisbah antara kemalangan dengan penyakit dan keracunan pekerjaan pada kadar 1:6. Jika diban­dingkan dengan statistik pelaporan yang diterima Kementerian Sumber Manusia, jauh lebih rendah.

“Statistik yang diterima pada tahun lalu ialah sebanyak 6,020 kes dan disahkan sebanyak 3,890 adalah penyakit pekerjaan. Statistik ini jauh berbeza dengan kajian ILO dan bagi Pahang mencatatkan 258 kes penyakit pekerjaan pada tahun lalu,” katanya ketika merasmikan Seminar Kesihatan Pekerjaan Bagi Pegawai-pegawai Perubatan di Sektor Awam dan Doktor Kesihatan Pekerjaan peringkat negeri, di sini semalam.

Seminar dihadiri kira-kira 100 orang itu merupakan anjuran JKKP dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurutnya, JKKP membuat klasifikasi mengikut jenis-jenis penyakit berkaitan pekerjaan dengan kehilangan pendengaran disebabkan kebisingan pekerjaan sebanyak 3,635 kes iaitu 60.3 peratus, masalah tulang otot pekerjaan 127 kes (2.1 peratus) dan penyakit kulit pekerjaan 73 kes (1.2 peratus).

Katanya, kesedaran mengenai penyakit dan keracunan pekerjaan merupakan satu perkara yang perlu dipandang serius oleh majikan serta pegawai perubatan.

“Jika kesedaran mengenai perkara ini dipupuk, secara tidak langsung langkah-langkah pencegahan awal dapat dilakukan kerana dalam konteks ini, kesan elemen kesihatan pekerjaan terhadap pekerja amat merugikan dengan kos dan pampasan,” katanya.

Sementara itu, katanya, inisiatif penganjur mengadakan seminar tersebut seharusnya dipuji dan merupakan usaha yang baik bertujuan meningkatkan kesedaran pihak berkaitan.

“Saya difahamkan peserta seminar terdiri daripada pengurusan tertinggi hospital dan pakar perubatan. Saya berharap setiap peserta dapat memanfaatkannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini