TAIPING – Kesemua tiga sayap UMNO Bahagian Bukit Gantang mendesak Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kerana telah mengkhianati parti dan amanah yang diberikan rakyat.
Ketua Pemuda Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, Syed Abu Hussin bukan sahaja mengkhianati rakyat dan parti, malah turut berbohong semata-mata mahu mencari alasan keluar daripada perjuangan UMNO.
“Apa yang dikatakan beliau (Syed Abu Hussin) mengenai penipuan dalam proses pemilihan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang adalah tidak benar sama sekali.
“Kami seluruh ahli jawatankuasa bertanding dengan adil mengikut demokrasi dan peraturan yang telah ditetapkan parti. Tiada isu menafikan hak 15 cawangan kerana mereka sebenarnya gagal untuk bersidang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan bekas Ketua UMNO Bahagian itu di Pejabat Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang di Changkat Jering di sini sebentar tadi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Trong yang mewakili Wanita UMNO Bahagian, Jamilah Zakaria dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Nora Hamid.
Tambahnya, kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Bukit Gantang selepas 10 tahun kalah kepada Pas bukan disebabkan oleh individu, sebaliknya ia dimenangi dengan gerak kerja berpasukan oleh seluruh jentera parti.
“Dengan demikian, ketiga-tiga sayap UMNO Bahagian mewakili seluruh ahli UMNO dan rakyat Bukit Gantang mendesak agar Syed Abu Hussin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen sekali gus menyerah semula mandat kepada rakyat bagi memilih pemimpin mereka.
“Kami juga menyokong penuh Pemangku Ketua UMNO Bahagian kini, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar dan satu pertemuan dengan beliau akan diadakan bagi membincangkan gerak kerja parti selepas ini,” katanya. – K! ONLINE











