KUALA LUMPUR 27 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa anggaran nilai rampasan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa kediaman dikatakan mempunyai kaitan dengannya mencecah RM1.1 bilion adalah subjektif dan tidak realistik.
Jelasnya, nilai barangan yang dirampas terutama barang kemas mungkin berbeza mengikut bahan yang digunakan, semasa barangan itu dihadiahkan atau dibeli.
“Jadi kita jangan terlalu teruja mengenainya. Beri kita lihat barangan ini, setiap satu daripadanya dan harap dapat menilai semua barangan ini.
“Seterusnya kita boleh membuat kesimpulan mengenai sumber barangan ini dan mendapat penjelasan terhadap barangan yang dirampas,” kata Najib dalam temubual dengan portal Malaysiakini, hari ini.
Najib juga dilaporkan berkata, sama seperti suami yang lain, beliau tidak begitu mengetahui sejauh mana koleksi barang kemas dan barangan lain yang dimiliki oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.- UTUSAN ONLINE











