V Shem minta BWF ubah peraturan servis - Utusan Malaysia

V Shem minta BWF ubah peraturan servis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jun – Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem meminta Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengkaji semula sistem servis baharu yang sedang digunakan selepas menyifatkan peraturan itu tidak adil buat pemain.

V Shem bersama pasangannya Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas menundukkan gandingan Thailand, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash 21-15, 21-10 semalam namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berdepan kesukaran ketika melakukan servis sepanjang perlawanan itu.
Pemain berusia 29 tahun itu berkata, peraturan servis itu seharusnya diubah dan disesuaikan mengikut ketinggian pemain kerana undang-udang yang digunakan ketika ini jelas tidak berpihak kepada pemain tinggi.

Semasa pusingan pertama, servis V Shem kerap dibatalkan kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan sehingga menyebabkan dia menghulurkan raket kepada pengadil servis kerana berang dengan keputusan yang diberikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sudah lama menjalani latihan bagi memperbaiki servis supaya menepati piawaian yang ditetapkan tetapi masih berlaku kesilapan, saya ada bantah keputusan pengadil servis semasa perlawanan kerana saya merasakan ia betul.

“Saya fikir peraturan ini perlu diubah, biar sesuai dengan ketinggian pemain, kalau ada pemain yang tinggi, macam mana mereka mahu lakukan servis dengan baik dan saya melihat peraturan ini memang tidak adil untuk semua pemain,” katanya.

Berdasarkan peraturan baharu BWF, pemain perlu melakukan servis dari jarak 1.15 meter dari paras lantai berbanding peraturan sebelum ini yang membenarkan servis dilakukan di bawah paras pusat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini