KUALA LUMPUR 27 Jun – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius isu pembuangan bayi dan menggariskan empat langkah pencegahan dan perlindungan bagi membendung gejala itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menyediakan tempat perlindungan seperti Taman Seri Puteri untuk kanak-kanak yang memerlukan perlindungan serta pemulihan terutama yang terjebak dengan kehamilan luar nikah dan pelacuran.
Keduanya, kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan turut menyediakan rumah kanak-kanak yang menempatkan kanak-kanak memerlukan perlindungan.
“Langkah ketiganya, kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Orphancare melalui program Baby Hatch bagi mengurangkan kes pembuangan bayi,” katanya dalam laman Twitter miliknya, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu pembuangan bayi yang semakin menular dalam kalangan masyarakat pada waktu ini.
Terbaru, seorang bayi dikatakan dicampak dari bangunan tinggi di bahagian belakang restoran di Jalan Reko, Kajang dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, bayi lelaki terbabit didakwa dicampak dari tingkat atas bangunan tersebut.
Rentetan itu, Mohd. Sabri berkata, pihaknya telah menahan seorang wanita warga asing di perkarangan Hospital Kajang kira-kira pukul 11.30 malam Isnin lalu. – UTUSAN ONLINE











