ALOR SETAR 27 Jun – Pemilihan jawatan Ketua UMNO Bahagian negeri kali ini mencuri tumpuan dengan kehadiran dua pemimpin wanita yang bakal merebut jawatan itu di kawasan masing-masing pada 30 Jun ini.
Salah seorangnya adalah Datuk Suraya Yaacob yang juga bekas Exco era kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) bagi UMNO Bahagian Pendang yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan penyandangnya, Datuk Md. Rozai Shafian dan Datuk Shamsudin Tahir.
Sementara UMNO Bahagian Sungai Petani pula, Datuk Shahanim Mohd. Yusoff yang mencabar penyandangnya, Datuk Abd. Rahim Saad.
Suraya yang juga merupakan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang dan turut menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi itu dalam hantaran terbaharunya di Facebook menegaskan, beliau berikrar untuk membawa pembaharuan dalam UMNO yang diyakini dapat dilakukan dengan penuh semangat kekitaan, berwibawa, berjiwa besar dan holistik.
“Perjuangan ini tidak pernah padam dan kita perlu menyemarakkan perjuangan asal UMNO sebagai sebuah institusi politik unggul negara dengan penuh nilai positif, intergriti, rendah diri dan lebih mesra bagai sebuah keluarga,” katanya yang sudah 22 tahun berkecimpung dalam bidang politik.
Beliau yang juga merupakan antara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN itu juga yakin UMNO mampu bangkit dengan perubahan dan semangat positif itu.
Pemilihan UMNO di negeri ini pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan pertandingan 13 daripada 15 jawatan ketua bahagian bagi penggal 2018-2021, berlangsung Sabtu ini. – UTUSAN ONLINE











