APABILA polis menerima laporan seseorang melarikan anak yang dalam jagaan sebuah hospital, apa yang harus dilakukan?
Tentulah polis akan bertindak dengan segera bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Apatah lagi kes itu melibatkan gadis yang dalam rawatan dan penilaian mental. Tentu tidak boleh ditangguhkan lagi. Apa sahaja boleh berlaku.
Setelah siasatan dilakukan mendapati gadis berkenaan berada di sebuah apartmen seorang diri dan telah mengunci pintu apabila polis cuba menyoalnya.
Tentulah di dalam fikiran anggota terbabit gadis yang tidak stabil dari segi mental boleh bertindak apa sahaja, termasuk terjun dari apartmen itu.
Bertindak mengikut firasat itu, polis telah memecah pintu rumah berkenaan dan membawa ke balai polis.
Di balai pula polis telah diserang oleh peguam. Dan tidak cukup lagi, gerombolan berkenan menyiarkan kekecohan itu secara langsung di Facebook tanpa menghormati premis itu adalah kawasan larangan.
Saya tidak mahu sebut kes apakah ini, kerana bimbang akan menjadi mangsa serangan gerombolan 13 peguam pula.
Apa yang saya mahu tegur ialah dalam kita ghairah menuntut keadilan, kita juga perlu menghormati undang-undang yang ada, apatah lagi kita adalah orang yang terpelajar di dalam bidang perundangan.
Menteri pula tidak perlulah melompat sama dan menekan polis. Di dalam situasi inilah polis sepatutnya mendapat sokongan daripada orang politik, khususnya menteri. Barulah mereka bebas dan yakin untuk bertugas menegakkan keadilan serta menjaga keamanan negara.
Orang politik jangan pula bertindak sehingga menimbul situasi polis terasa seperti dibelenggu oleh kerana campur tangan yang tidak sewajarnya.











