KUALA LUMPUR 27 Jun – Sebuah Majlis Penasihat Agama perlu ditubuhkan yang antara lain bertujuan menambah baik kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan isu-isu berkaitan agama Islam di negara ini.
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Faizal Musa atau lebih dikenali Faisal Tehrani berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan langkah itu selaras dengan proses reformasi yang ingin dilakukan.
Malah, kata beliau, penubuhan majlis tersebut juga dapat memperbaiki kedudukan Jakim agar terus kekal relevan.
“Pertemuan saya dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini amat memberangsangkan. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada mereka sebagai sebahagian daripada proses reformasi yang ingin dilakukan kerajaan baharu itu.
“Antara cadangannya ialah mengenai keperluaan kerajaan untuk menubuhkan Majlis Penasihat Agama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, hari ini. – UTUSAN ONLINE











