IPOH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak sedang menyemak dengan sebuah syarikat di sini yang dikatakan pernah menggaji pemandu Grab, Aiman Nosri sama ada mangsa bunuh itu mempunyai caruman skim perlindungan Perkeso.
Pengarahnya, Norhanita Mohamad berkata, beliau dimaklumkan bahawa mangsa pernah bekerja dengan syarikat terbabit pada 2009.
“Kami sedang membuat semakan dengan majikan tersebut sama ada pihaknya ada membuat caruman Perkeso ke atas mangsa atau tidak, ia memerlukan sedikit masa,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Perkeso Ipoh di sini hari ini.
Aiman, 27, ditemukan mati dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher dalam kereta jenis Perodua Myvi miliknya di parkir Taman Selayang Makmur di ibu negara pada Sabtu lepas.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta terbabit kira-kira pukul 8.20 malam. – Bernama











