SAINT PETERSBURG, Rusia 27 Jun – Lionel Messi melakukan perkara yang jarang dilakukan ketika Argentina berhenti berehat pada separuh masa dalam pertemuan menentang Nigeria awal pagi tadi, iaitu memberi ucapan dan kata-kata semangat kepada rakan sepasukannya.
Pemain Terbaik Dunia lima kali itu jarang bersuara, namun hari ini dia menunjukkan contoh sebagai kapten Argentina apabila bukan sahaja meledak gol cantik yang membawa kepada kemenangan dramatik 2-1 dalam Kumpulan D, malah mengejutkan peminat kerana memberikan kata-kata semangat di terowong pemain.
Argentina yang wajib menang untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati, bermula positif apabila Messi melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang meletakkan Argentina mendahului 1-0.
Penyerang Barcelona itu kemudian memanggil rakan-rakannya dan memberi ucapan kira-kira 30 saat ketika mereka menuju ke bilik persalinan untuk rehat sepasukan masa, sesuatu yang mengejutkan penyokong Argentina.
“Pertama kali saya melihat Messi bercakap sebagai ketua kepada pasukannya”, tulis seorang peminat dalam Twitter.
“Messi memberi kata-kata semangat pada babak pertama? Ini pasti kali pertama!”, tulis peminat yang lain.
Walaupun Victor Moses mencemaskan Argentina apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-51, namun voli cantik pemain Manchester United, Marcos Rojo, empat minit sebelum tamat permainan memastikan kemenangan dramatik buat naib juara 2014 itu.
“Kami telah banyak terseksa kerana berdepan situasi sukar pada awal kejohanan. Perlawanan ini sangat genting dan kami lega kerana berjaya melepasi halangan.
“Saya fikir, kemenangan ini memastikan kami tidak perlu terseksa lebih teruk. Biarpun sedar perlawanan tidak akan mudah, namun kami sentiasa yakin untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Messi dalam sidang akhbar selepas aksi di Stadium Saint Petersburg itu.
Argentina kini akan berdepan juara dunia 1998, Perancis pada pusingan 16 akhir di Kazan, 30 Jun ini. – AGENSI











