HULU TERENGGANU 27 Jun – Pemilihan barisan kepemimpinan UMNO Pusat kali mencatatkan sejarah bagi negeri ini dengan bilangan calon teramai menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi sesi 2018-2021.
Mereka yang umumnya dilihat berkewibawaan dan mampu memberikan sumbangan berkesan di peringkat negeri serta Pusat dalam memulakan kebangkitan parti itu termasuklah bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga bekas anggota Kabinet.
Juga Ketua Penerangan UMNO negeri, Wan Hakim Wan Mokhtar (bahagian Kemaman) dan tiga calon lagi dari Hulu Terengganu iaitu Datuk Rosol Wahid (Ahli Parlimen), Datuk Sri Dr. Muhammad Rosli Che Wan (usahawan dalam sektor latihan penerbangan di rantau ini) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd Johari Abu Bakar.
Mereka merupakan antara 106 calon yang bertanding merebut bagi jawatan dalam pemlihan kali ini ketika keadaan sangat berbeza dengan parti kehilangan kuasa di kebanyakan negeri dan di peringkat negara.
Muhamad Rosli yang pernah menjawat jawatan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Terengganu dari tahun 2000 hingga 2013 ketika ditemui berkata, beliau terpanggil untuk bertanding dalam saat UMNO tidak mempunyai apa-apa kuasa.
“Inilah masanya parti membuka ruang untuk semua untuk bersama membantu agar dapat bangkit semula, meningkatkan keyakinan rakyat dan kembali diberi mandat untuk memerintah di negeri dan Pusat.
“Memandangkan parti keramat orang Melayu sudah tidak mempunyai kuasa dan hilang segala-galanya maka dengan penuh rasa tanggungjawab, saya nak bantu UMNO bangkit semula bersama kawan-kawan di peringkat pimpinan atasan hingga ke akar umbi.
“Untuk pulihkan balik parti ini, ‘servis’ yang baik perlu di peringkat negeri dan Pusat,” katanya yang turut terlibat sebagai Penasihat Industri Kepada Pendidikan Teknik dan Vokasional Malaysia dan Penasihat Kelab UMNO Badan Perhubungan Indonesia.-UTUSAN ONLINE











