Keputusan Selangor bermain semula di Stadium Shah Alam diketahui awal Julai ini - Utusan Malaysia

Keputusan Selangor bermain semula di Stadium Shah Alam diketahui awal Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Impian penyokong pasukan Selangor melihat skuad mereka bermain semula di Stadium Shah Alam akan diketahui selewat-lewatnya awal bulan depan. 

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau secara optimis mampu menzahirkan impian penyokong skuad Gergasi Merah itu sejak dua tahun lalu kerana sedang menunggu beberapa perkembangan terkini.

Katanya, beliau juga telah berjumpa sebanyak tiga kali dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan wakilnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa menjelang Julai (akan) umumkan sesuatu mengenai FAS, kerajaan negeri dan bola sepak kerana menunggu beberapa perkembangan.

“Sehubungan itu, saya amat optimis pada awal Julai ini (pengumuman bermain di Stadium Shah Alam), sekiranya tiada perkara yang sangat besar berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Stadium Shah Alam akan menjadi venue utama kepada Selangor dan kelab PKNS FC.

Bagaimanapun, Amirudin menegaskan kebenaran bagi kedua-dua pasukan itu menjadikan stadium tersebut sebagai tuan rumah mereka adalah bergantung kepada keadaan dan kualiti stadium itu.

“Tiada masalah sebab sebelum ini Selangor dan PKNS FC bermain di lokasi sama.

“Cuma saya sedang memastikan agar padang itu dapat digunakan dengan pasukan tertentu. Kalau banyak sangat pasukan dalam satu tempat mungkin akan memberikan kesan kepada keadaan dan kualiti padang,” jelasnya. 

Untuk rekod, Selangor yang kini menduduki tangga ketujuh dalam saingan Liga Super tidak bermain di Stadium Shah Alam berkenaan sejak 2016. 

Sebaliknya, skuad itu kini menjadikan Stadium Kuala Lumpur sebagai gelanggang rasmi mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini