AIDILFITRI dalam bulan Syawal hadir dengan penuh keberkatan, tangan dihulur menandakan rasa kesyukuran. Berbekal semangat berkenaan, KPJ Sentosa KL telah berkunjung ke Pusat Jagaan Kasih Murni, Keramat, Kuala Lumpur, baru-baru ini bagi meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni di pusat itu.
Sumbangan berbentuk pakaian dan wang ringgit diberikan kepada 40 kanak-kanak asnaf dan anak yatim yang berusia dua hingga 12 tahun.
Selain itu, barangan keperluan harian juga turut disumbangkan bagi meringankan beban penghuni pusat berkenaan.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Sentosa KL, Noreen Abdul Rashid. Majlis turut dihadiri kakitangan KPJ Sentosa KL yang membantu menjayakan program ini.
“Majlis seperti ini bertujuan meraikan insan-insan istimewa yang juga ingin menyambut Aidilfitri seperti kanak- kanak lain.
“Yang penting ia turut memberi kesedaran kepada masyarakat betapa ramai lagi golongan asnaf dan anak yatim di luar sana yang masih memerlukan bantuan,” jelasnya.
Anak- anak ini turut disajikan dengan persembahan nasyid, doa serta tarian.










