SARANSK – Jurulatih Iran, Carlos Queiroz tidak mampu membendung kemarahannya terhadap penggunaan sistem teknologi Video Bantuan Pe-ngadil (VAR) dalam kempen Piala Dunia 2018 selepas me-nyaksikan skuad kendaliannya tersingkir sebaik seri 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B awal pagi semalam.
Dalam aksi itu, Iran memanfaatkan kelebihan VAR di Saransk pada babak-babak ter- akhir permainan selepas pemain pertahanan Portugal, Cedric Soares dihukum gara-gara bola terkena tangan hasil tandukan Sardar Azmoun.
Pengadil perlawanan, Enrique Caceres sebelum itu menggunakan bantuan VAR untuk memberikan sepakan penalti kepada Portugal yang mana Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan peluang tersebut.
Bagaimanapun, sebelum Ronaldo mendapat sepakan penalti itu, sistem tersebut gagal mengesan tindakan bintang Real Madrid tersebut menyiku Morteza Pouraliganji yang sepatutnya dilayangkan kad.
Mengulas lanjut, Queiroz yang memimpin Portugal pada Piala Dunia 2010, lantang mengkritik penggunaan teknologi tersebut sehingga menyaksikan Piala Dunia kali ini mencipta rekod penalti paling banyak diberikan setakat ini.
“Realitinya VAR perlu dihentikan. (Ronaldo) menyiku adalah kad merah dalam peraturan. Ia tidak kisah sama ada pemain itu Lionel Messi atau Ronaldo. Ia jelas kad merah.
“Persoalan saya adalah bukan terhadap pengadil tetapi ia lebih kepada sikap dan keberanian. Keputusan mestilah jelas. Pada pandangan saya, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) harus bersetuju VAR tidak berjalan dengan baik dan itulah realitinya.
“Terlalu banyak aduan dan siapakah yang membuat keputusan dalam setiap perlawanan? Perkara ini perlu diputuskan segera,” ujarnya. – Agensi











