Dua tentera maut dihempap pokok - Utusan Malaysia

Dua tentera maut dihempap pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK 26 Jun – Dua anggota tentera maut manakala dua lagi cedera dihempap sebatang pokok tumbang sewaktu mereka sedang tidur di dalam khemah ketika bertugas dalam operasi di hutan Royal Belum di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.30 malam menyebabkan mangsa, Koperal Mohd. Safuan Hassan,30, dan Lans Koperal Fahrurazi A. Manaff,32, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, dua lagi anggota tentera, Mohd. Haizol Kamsiran dan Willian Nisau Anak Atong patah kaki, paha dan luka di badan serta tangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, keempat-empat mangsa dipercayai telah mendirikan khemah di bawah sebatang pokok besar.

“Sewaktu kejadian hujan lebat dan ribut menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu menghempap khemah ketika kesemua mangsa sedang tidur.

“Dua jam selepas kejadian, pegawai tentera dari Markas Tektikal Banding tiba di lokasi kejadian bersama lima anggota dan seorang doktor untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi anggota tentera mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Ismail, siasatan turut mendapati dua mangsa yang cedera sedang tidur bersebelah dengan mangsa yang maut.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gerik dan hasil bedah siasat mendapati dua tentera yang maut berpunca daripada patah beberapa tulang rusuk dan pendarahan dalam paru-paru.

“Tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kes tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini