MOSCOW – Seperti diramal, Denmark berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA selepas seri tanpa jaringan dengan Perancis dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C di Stadium Luzhniki, Moscow, Rusia sebentar tadi.
Ketika pasukan pilihan, Perancis telah pun menjamin tempat ke pusingan kalah mati tersebut, Denmark pula hanya perlu mencatat sekurang-kurangnya seri bagi mengiringi juara edisi 1998 itu setelah pencabar terdekat, Australia berpotensi menyingkirkan mereka sekiranya menang besar ke atas Peru.
Tugas Denmark bagaimanapun menjadi lebih mudah apabila ‘The Socceroos’ kalah mengejut kepada Peru 0-2, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menyamai pencapaian terbaik layak ke suku akhir yang dilakukan pada edisi 1998 di Perancis.
Australia pula perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal menggunakan peluang terakhir ini dengan baik selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dengan kalah 0-1 kepada Perancis pada aksi pertama hanya seri 1-1 ketika menentang Denmark.
Mereka dilihat mampu menang besar ke atas Peru, namun mempamerkan aksi kurang bermaya pada pertemuan di Sochi dan gagal mengekang gerakan dan asakan pemain Peru yang turut memburu kemenangan pertama mereka malam ini.
Gol daripada Andre Carrillo pada minit ke-18 dan Paolo Guerrero pada minit ke-50 sudah cukup menjadi pemusnah kepada hajat Australia untuk layak ke pusingan kedua sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2006 di Jerman.
Malah, kekalahan ini merekodkan pencapaian paling buruk mereka di pentas Piala Dunia setelah menduduki tangga terakhir kumpulan dengan hanya satu mata serta tanpa kemenangan.
Kempen ini juga menjadi yang terakhir buat pemain veteran, Tim Cahill yang juga gagal mengubah nasib Australia apabila setiap gerakan dipatahkan pertahanan Peru, manakala setiap percubaan pula tidak menepati sasaran.
Sementara Denmark, pasukan No. 12 dunia yang turun pada penampilan kelima di Rusia, berhajat untuk mencipta kejutan ke atas Perancis bagi merampas tangga juara kumpulan, namun keputusan seri ini sudah dikira cukup untuk mereka layak tanpa perlu bersusah payah.
Juara 1998, Perancis pula menggunakan pertemuan dengan Denmark ini bagi merehatkan beberapa pemain utamanya seperti Paul Pogba, Hugo Lloris dan Samuel Umtiti dengan memberi peluang kepada pemain simpanannya merasai suasana di pentas dunia ini.
Namun, skuad kendalian Didier Deschamps ini berjaya juga mencipta gerakan cantik menerusi pemain Barcelona, Ousmane Dembele yang menunjukkan keserasiannya dengan Antoine Griezmann serta Oliver Giroud.
Keputusan seri ini menyaksikan Les Bleus kekal menjuarai kumpulan dan dijadual berdepan pasukan No. 2 Kumpulan D yang bakal menjadi rebutan di antara Nigeria, Iceland dan Argentina.
Manakala Denmark pula bakal berdepan laluan sukar apabila akan bertemu pasukan bukan pilihan Croatia yang mengejutkan banyak pihak apabila menjuarai Kumpulan D dan mara ke pusingan kedua. – K! ONLINE











