KUALA LUMPUR 26 Jun – Siasatan terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung beberapa kes sebelum ini perlu diteruskan dengan profesional.
Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Idris berkata, siasatan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga perlu diteruskan tanpa ada pengaruh politik.
“Kes sudah berjalan di mahkamah sebelum pilihan raya umum lalu dan selepas Pakatan Harapan menang, jika kes itu ditarik balik akan mengundang persepsi negatif orang ramai.
“Tommy Thomas selaku Peguam Negara kena profesional dan bertindak adil untuk meneruskan sebarang siasatan yang dijalankan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Guan Eng sebelum ini didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo di Pinhorn Road daripada ahli perniagaan pada harga RM2.8 juta iaitu di bawah nilai pasaran sebanyak RM4.27 juta.
Menurut Abdul Razak, jangan kerana disebabkan pengaruh politik, seseorang itu menjadi terkecuali daripada sebarang siasatan dan hukuman.
Jelasnya, sesiapa sahaja yang didapati bersalah perlu dihukum dan jika kes Guan Eng ditarik semula, perkara itu sesuatu yang tidak masuk akal.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kes pembantu khas anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang dibuka semula, beliau berpendapat, tindakan itu sesuatu yang membazir masa.
“Siasatan polis, Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock dan inkues sudah dijalankan dan keputusan telah diputuskan bahawa dia membunuh diri pada 16 Julai 2009 dan tiada penglibatan SPRM.
“Sebelum ini pun sudah banyak kes di luar negara melibatkan ahli politik dan pemimpin negara yang membunuh diri kerana tertekan dan buka semula kes adalah sesuatu yang membazir masa,” jelasnya.











