KALININGRAD 26 Jun – Maghribi menjadi pasukan paling kecewa kerana pada saat mereka hampir meraih kemenangan mengejut ke atas Sepanyol, Video Bantuan Pengadil (VAR) menterbalikkan keputusan ofsaid kepada jaringan lewat Iago Aspas untuk keputusan seri 2-2 di Stadium Kaliningrad.
Keputusan tersebut membolehkan Sepanyol muncul juara Kumpulan B dengan kelebihan jaringan manakala Maghribi tersingkir daripada kempen Piala Dunia 2018.
Selaku juara Kumpulan B, Sepanyol bakal bertemu naib juara Kumpulan A, Rusia dalam aksi 16 akhir yang bakal berlangsung 1 Julai ini.
Pemain tengah Sepanyol, Isco berkata, pasukan Maghribi telah memberikan saingan sengit kepada Sepanyol malah hampir menyebabkan mereka tewas.
“Kami kini berhadapan dengan kebenaran, namun saya tetap percaya kepada pasukan ini.
“Maghribi adalah pasukan yang hebat kerana menyukarkan kami bagi mendapatkan kemenangan, mungkin kurang kawalan permainan menyebabkan kami tidak dapat beraksi dengan baik.
“Berdepan Rusia nanti pastinya saingan berlangsung sengit kerana seluruh penyokong tuan rumah berada di belakang mereka.
“Kami pernah berdepan mereka dalam aksi persahabatan dan kami tahu keupayaan mereka,” kata Isco.
Dalam perlawanan menentang Maghribi, gol awal dijaringkan oleh pemain Maghribi, Khalid Boutaib pada minit ke-14 sebelum Isco menjadikan kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-19.
Babak kedua perlawanan menyaksikan saingan berlangsung lebih sengit apabila Maghribi berupaya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-81 menerusi Youssef En-Nesyri.
Ketika Maghribi hampir untuk meraikan kemenangan mereka Aspas meledak gol penyamaan ketika masa kecederaan.
Gol tersebut amat kontroversi kerana sebelum pengadil merujuk VAR ia adalah ofsaid namun keputusan berubah selepas melibat sistem tersebut.
Jurulatih Maghribi, Herve Renard berkata, biarpun kalah namun pujian wajar diberikan kepada semua pemain skuad Atlas Lions.
“Kami menderita seperti mana pasukan lain ketika bertemu Sepanyol, barisan pemain mereka umpama campuran Barcelona dan Real Madrid.
“Kami pasukan yang kurang pengalaman namun berupaya memberikan tentangan sengit kepada pasukan terbaik dunia seperti Sepanyol dan Portugal, pujian wajar diperoleh semua pemain atas usaha mereka,” kata Renard. – AGENSI











