PUTRAJAYA 26 Jun – Senarai penuh barisan Kabinet baharu terdiri daripada 28 menteri dan 24 timbalan menteri yang tular dalam media sosial sejak kelmarin dilaporkan sah dan muktamad.
Kesemua mereka dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 2 Julai ini.
Mereka yang menjadi tumpuan ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Darell Leiking dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Turut mencuri tumpuan ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Menteri Hal Ehwal Islam, Mujahid Yusof serta Menteri Industri Utama, Teresa Kok.
Melengkapkan senarai 28 menteri dan 24 timbalan menteri untuk kerajaan Pakatan Harapan, tiga wakil rakyat daripada parti Warisan Sabah akan turut tersenarai dalam barisan Kabinet.
Jika sebelum ini wakil daripada Hindraf disebut-sebut akan menyertai kerajaan, namun dalam senarai yang disahkan hampir tepat itu, wakil masyarakat India berkenaan tidak tersenarai langsung.
Turut tersenarai sebagai menteri baharu ialah Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution dan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Yusof.
Wakil Parti Warisan Sabah yang turut dilantik ialah Datuk Liew Vui Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamad Din Ketapi selain Leiking.
Seterusnya, 24 orang timbalan menteri juga dipilih.
Mereka ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pelajaran, Teoh Nie Ching; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Masyarakat, R. Sivarasa dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr. Ahmad Termizi Ramli.
Turut dilantik ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Bakhtiar Wan Chik.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Timbalan Menteri Industri Utama. Shamsul Iskandar Md. Akin.
Seterusnya Timbalan Menteri Kerja Raya, Annuar Tahir; Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Dr. Md. Farid Md. Rafik.
Sebelum ini, jumlah Menteri Kabinet adalah 35 orang dan 32 timbalan tidak termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.











