KUALA LUMPUR 26 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) boleh memberi sebarang komen tetapi pada masa sama mengingatkan Ketua Umum Pakatan Harapan itu bukan dalam kerajaan.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri dalam wawancara beliau bersama Channel News Asia yang disiarkan semalam.
Dr. Mahathir memberitahu, sekiranya sesuatu perkara itu telah mencapai persetujuan Kabinet, kerajaan akan tetap dengan keputusan tersebut.
“Orang lain yang tidak berada dalam Kabinet boleh buat komen masing-masing. Mereka boleh kata apa yang mereka suka tetapi kami adalah kerajaan.
“Anwar seperti orang lain, boleh beri komen,” kata beliau.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai komen Anwar berkenaan polisi kerajaan termasuklah mencadangkan supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhenti mendedahkan skandal-skandal kerana kenyataan beliau memberi impak kepada pasaran.
Ditanya kebimbangan berlakunya perselisihan antara mereka, Dr. Mahathir menjelaskan, beliau akan melepaskan jawatan sekiranya tidak boleh bekerja dengan pihak yang menentangnya.
Dr. Mahathir percaya perselisihan boleh timbul antara beliau dengan banyak pihak tetapi mengingatkan bahawa beliau mampu bertahan.
“Saya pernah berada di kedudukan ini selama 22 tahun. Banyak pihak yang menentang saya tetapi saya berjaya uruskan, jadi, sekiranya tidak mampu, saya akan letak jawatan,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau menegaskan, tidak berlaku sebarang pertengkaran dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan senarai penuh Kabinet lewat diumumkan.
Katanya, beliau telah menyenaraikan Kabinet baharu dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan baginda.
Dalam wawancara sama, beliau mengakui memimpin kerajaan PH adalah lebih sukar berbanding menerajui kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, kesukaran itu berlaku kerana sebelum ini BN mempunyai parti dominan iaitu UMNO.
“Tetapi di sini (Pakatan Harapan), anda kena mendengar kepada empat suara berbeza dan anda perlu merumuskan dan mengatakan, ini secara amnya apa yang anda percaya dan kemudian dapatkan persetujuan,” katanya.











