DI Semenanjung Tanah Melayu, British pernah cuba menghapuskan institusi itu dengan memperkenalkan konsep kerajaan republik melalui Malayan Union pada 1946. Bagaimanapun Raja-Raja dan orang Melayu telah berjaya menolaknya dan menghidupkan semula kuasa raja seperti sebelum Malayan Union. Raja-Raja menaiki semula takhta dan semua perkara mengenai kedudukan agama Islam dan orang Melayu dikekalkan di samping raja kekal sebagai pemerintah negeri.
Perjanjian Persekutuan 1948 di antara British dan Raja-raja Melayu itu juga telah membuat satu perubahan besar. Raja-raja Melayu telah sanggup menurunkan diri mereka sebagai Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy dan menggugurkan konsep Raja Mutlak atau Absalute Monarchy, yang diamalkan sebelum ini. Dalam konsep yang baharu itu, institusi raja telah dimasukkan dalam perlembagaan negara atau undang-undang tubuh negeri sebagai satu Raja Pemerintah dan pentadbiran yang mempunyai bidang kuasa dan jurisdiksi pemerintahan dan pentadbiran yang jelas.
Ini bermakna Raja masih lagi menjadi ketua negeri-negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948-1957, tetapi mereka tidak lagi secara terus membuat perhubungan dengan rakyat jelata – kuasa menguruskan pentadbiran negeri diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, yang dilantik oleh Sultan. Bagaimanapun hal-hal pentadbiran negeri tetap dirujuk kepada Sultan. Sistem perundangan negeri tetap diluluskan oleh Sultan yang menjadi ketua negeri. Dengan itu Sultan tetap bertindak sebagai pemerintah dan payung mahkota sesebuah negeri beraja.
Dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963, kedudukan raja sebagai Raja Berperlembagaan dikekalkan. Segala bidang kuasa pemerintahan dan perundangan dan kedudukan tradisionalnya tidak berubah. Kedudukan dan kuasa Sultan dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu dikekalkan. Raja Pemerintah kekal sebagai ketua negeri dan pembukaan dan penangguhan Dewan Undangan Negeri tetap akan dilakukan oleh baginda. Kelulusan undang-undang juga dilakukan oleh baginda. Pemberian anugerah darjah, pingat dan bintang dilakukan oleh Sultan dengan lebih kerap sebagai tanda kuasa pemerintahannya.
Pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara (Fasal 32) dengan bidang-bidang kuasa yang jelas menggantikan Pesuruhjaya Tinggi British, dimaktubkan dalam perlembagaan negara dengan teratur dan berperlembagaan. Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (Fasal 41). Malah banyak lagi dalam perlembagaan Negara iaitu 19 fasal mengenai bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong telah dizahirkan dengan nyata. Upacara-upacara rasmi negara yang memerlukan penglibatan Yang di-Pertuan Agong terus dipamerkan kepada rakyat; dengan itu kehadiran institusi raja dalam negara dan masyarakat selepas Merdeka dan penubuhan Malaysia adalah lebih tegas lagi.
Majlis Raja-Raja (Fasal 38) juga menjadi satu badan pentadbiran yang penting dalam perlembagaan negara. Ia merupakan satu kelangsungan badan mesyuarat diraja di peringkat negara yang telah diadakan sejak penubuhan Durbar pada 1897 lagi. Raja-Raja juga adalah penanda tangan Perlembagaan Merdeka 1957. Ini bermakna kuasa pemerintahan tetap dipegang oleh Raja-Raja yang memerintah negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963.
Perlembagaan Malaysia 1963, yang juga ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu telah melangsungkan lagi institusi raja sebagai Raja Berperlembagaan dengan segala bidang kuasa dan kedudukan yang tidak berubah. Bagaimanapun pada 1990, terdapat perubahan kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan undang-undang di peringkat negara. Kuasa meluluskan rang undang-undang seperti dalam Perlembagaan Merdeka dan Malaysia telah boleh disertai oleh Parlimen. Namun kuasa-kuasa lain masih lagi kekal iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak (Fasal 153) serta kedudukan agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan.(Fasal 3)
Di bawah perubahan 1990 juga, sebuah Mahkamah Khas ditubuhkan bagi menguruskan hal-hal kehakiman yang berkaitan dengan Raja-raja Melayu secara peribadi dengan keizinan Peguam Negara (Fasal 183). Itulah sebabnya peranan Peguam Negara dalam menjaga kedudukan Raja-Raja Melayu adalah sangat penting dan bermakna dalam menjaga imej Raja-Raja Melayu. Dalam Perlembagaan 1957, tidak ada Mahkamah Khas untuk mengadili Raja-Raja Melayu; Raja-Raja sebagai Raja Pemerintah dikatakan berada di atas undang-undang. Bagaimanapun, perubahan itu tidak mengurangkan peranan institusi raja dalam pemerintahan Negara dan Negeri-negeri. Dalam Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Negeri, terdapat fasal-fasal yang jelas menjaga kepentingan, kedudukan, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan di Malaysia (Fasal 181).
Raja Berperlembagaan bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Negeri. Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu daripada sembilan buah Negeri-negeri Melayu secara bergilir-gilir. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia (Fasal 32). Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sejak tahun 1957. Raja-Raja pula menjadi ketua negeri masing-masing secara keturunan kerabat diraja.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjalankan tugas mengikut nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar. Namun dalam melantik Perdana Menteri dan Menteri Besar itu, Yang di-Pertuan Agong (Fasal 40(2) dan Raja- Raja Melayu adalah mengikut budi bicaranya dan tidak ada paksaan daripada sesiapa atau mana-mana pihak pun (Fasal 39-Undang Undang Tubuh Kerajaan Perlis sehingga Januari 2008).
Peranan institusi raja pada hari ini dalam kehidupan masyarakat Malaysia adalah sebagai payung perpaduan dan kedaulatan negara. Institusi Raja pada setiap ketika tidak boleh bersifat partisan dalam politik. Malah wajib mengelakkan sebarang campur tangan di atas segala polemik politik kepartian dan patut berperanan sebagai penimbang tara dan memberi nasihat yang patut dipatuhi bagi mendamaikan sebarang persengketaan yang wujud. Institusi Raja perlu bersifat progresif bagi memenuhi peranan sebagai payung penyatuan dan pengimbang tara dalam kesejahteraan politik supaya perpecahan masyarakat dapat dielakkan. Institusi raja adalah kemuncak terakhir kelangsungan kedamaian dan ketenteraman rakyat.
Kesetiaan kepada Raja dan negara adalah prinsip kedua daripada lima prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan Malaysia. Prinsip ini menekankan kepada rakyat betapa pentingnya kesetiaan yang perlu ada dalam kalangan rakyat terhadap Raja, yang menjadi pemerintah negeri/negara. Amalan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Malaysia telah meletakkan Seri Paduka Baginda sebagai Kepala Utama Negara. Oleh itu, adalah menjadi tanggung jawab setiap rakyat yang menjadi rakyat/warganegara Malaysia untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada Raja/Sultan yang memerintah negeri tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
PROF. DATUK DR. RAMLAH ADAM ialah Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti (IKRK), Universiti Malaysia Perlis (Unimap).










