Naskhah sarat unsur nasihat - Utusan Malaysia

Naskhah sarat unsur nasihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMAJA gemar berfantasi. Mereka hidup dalam dunia tersendiri.

Namun kembara fantasi yang dibawa oleh penulis remaja dan berbakat, Tiffirah atau nama sebenarnya, Siti Iffah Zafirah Mohd.Rosli, 19, menerusi naskhah Selamat Bermimpi Bulan sarat dengan mesej yang mendalam.

Elemen nilai-nilai nasihat menurut Islam digarap indah agar dapat diambil penghayatan oleh pembaca.

“Saya tidak pernah bermimpi mahu menjadi seorang penulis tetapi fikiran saya suka mencipta suasana baharu, watak dan plot.

“Apabila sudah terlalu lama berada dalam kotak fikiran, saya terpaksa mencurahkannya dalam bentuk penulisan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Menurut Tiffirah, Selamat Bermimpi Bulan menceritakan tentang seorang gadis bernama Hannah yang terbuai di dalam mimpi sebelum ia mengubah hidupnya.

“Hannah yang merupakan watak ciptaan mewakili remaja yang sentiasa berdepan dengan dilema, tekanan dan masalah peribadi.

“Watak roh agama diwujudkan untuk menjelaskan hukum, larangan dan tuntutan yang dianjurkan dalam Islam,” beritahu gadis manis yang dilahirkan di Selangor dan dibesarkan di Kota Bharu, Kelantan itu.

Tambahnya, watak utama itu diinspirasikan daripada lagu-lagu yang sering didengarnya di corong radio.

Jelas Tiffirah lagi, perkataan Islam bermaksud selamat, justeru dia mahu menyampaikan mesej kepada pembaca bahawa agama Islam memberi keselamatan kepada penganutnya.

Naskhah setebal 311 muka surat berkenaan ditulis selepas mendapat dorongan daripada arwah ibunya, Norlaili Salleh yang juga seorang novelis terkenal dengan nama penanya, Melur Jelita.

“Walaupun novel ini tidak setebal karya Melur Jelita namun setiap babak memberi maksud yang mendalam.

“Pembaca disyorkan agar membaca novel ini berkali-kali kerana mereka akan bertemu dengan sesuatu yang baharu setiap kali ia diulang baca,” tuturnya.

Mimpi indah

Dari segi pemilihan tajuk pula, Tiffirah berkata, ia diinspirasikan daripada syair Islam yang sering merujuk bulan sebagai simbolik keindahan dan secara ringkasnya Selamat Bermimpi Bulan bermaksud semoga mimpi indah.

Tiffirah memulakan penulisan prolog untuk novel tersebut pada 2016 namun terhenti seketika bagi memberi fokus kepada peperiksaan kerana dia masih di bangku sekolah.

Bagaimanapun selepas tamat persekolahan, anak sulung daripada dua adik-beradik tersebut kembali melengkapkan penulisan dan naskhah tersebut berjaya diterbitkan pada April lalu.

Mengulas lanjut, Tiffirah berkata, ada bahagian daripada novel tersebut tergantung kerana memerlukan kajian yang terperinci supaya mesej yang mahu disampaikan jelas.

“Saya turut menemu bual ibu saudara yang merupakan seorang doktor untuk menerangkan topik berkaitan perubatan,” ujarnya yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×