RASANYA belum terlambat lagi untuk Poklip mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Utusan Malaysia khususnya Mega Hits. Ala… raya kan sebulan, jadi tak salah kan?
Sempena lebaran yang disambut meriah oleh semua umat Islam, Poklip di sini menyusun sepuluh jari memohon maaf seandainya ada penulisan atau kata-kata Poklip yang mengguris hati mana-mana pihak.
Bukan apa, apabila kita menulis ruangan gosip ini, pastinya kita akan menjadi sasaran ramai pihak terutama peminat. Yang nampak jahatnya adalah wartawan dan penulis ruangan gosip.
Tanyalah mana-mana penulis kolum, mereka sama seperti Poklip yang tidak mempunyai agenda menjatuhkan mana-mana artis. Kita cuba menegur dan bertanya kesahihan dakwaan yang kami dengar.
Lebih-lebih lagi, zaman sekarang ini, ramai artis yang suka buat perangai dan secara terang-terangan menunjukkan contoh yang tidak baik dalam media sosial.
Poklip faham, mungkin ada yang terasa dan banyak kali juga, di majlis-majlis hiburan ada segelintir artis yang memandang sinis kepada Poklip. Tulus dari hati, Poklip minta maaf ya.
Apa pun, Poklip cukup respek artis-artis yang bersikap terbuka apabila menerima kritikan secara berhemah. Neelofa, Janna Nick dan Saharul Ridzwan antara nama besar industri yang cukup terbuka.
Tapi ada juga segelintir artis yang menggunakan media sosial untuk menyerang secara sinis kepada Poklip. Tak apalah, Poklip okey sahaja. Kita doa yang baik-baik sahajalah.
Apa pun, semoga industri seni tempatan sentiasa bergerak terus dan pantas. Kurangkan kontroversi dan percaya serta yakinkan peminat dengan bakat yang ada. Kalau asyik cerita panas, bosan pula kan?
SOLOK LADA: Tak sabar mahu menonton konsert sulung penyanyi Indonesia, Tulus di Istana Budaya. Satu contoh penyanyi mempunyai jiwa yang dekat di hati pendengar dengan lagu, lirik dan suaranya.











