REALITI dunia hiburan sememangnya tidak dapat lari daripada pandangan sinis dan kecaman netizen. Kebelakangan ini, kritikan dan hinaan ibarat rutin biasa yang perlu dilalui anak seni.
Kekuatan jiwa menjadi taruhan. Sama ada kental atau tidak, semuanya bergantung kepada bulat semangat dan niat dalam meneruskan kerjaya seni yang penuh duri dan ranjau.
Tidak mahu dirinya terjerat dengan kecaman dan kritikan netizen, pelakon popular, Scha Al Yahya enggan mengambil pusing setiap kata-kata negatif yang dilontarkan menerusi ruangan komen dalam media sosial.
Bagi isteri kepada pengacara, Awal Ashaari ini, dia tidak kisah seandainya dia menjadi papan sasaran netizen sementelah jiwa kentalnya sudah dibina sejak melangkah ke dalam industri kira-kira 12 tahun lalu.
“Saya boleh terima kecaman. Tak kisah pun sebenarnya orang hendak cakap apa, hati saya kering. Nak kutuk atau kecam saya, buatlah tetapi jangan sesekali sentuh anak saya.
“Tapi saya sedikit terkejut bila netizen mula bergaduh dalam ruangan komen saya. Mula-mula saya niat hendak tutup sahaja ruang komen itu tetapi, suami memberi nasihat biarkan sahaja.
“Saya terima semua pendapat. Cuma kalau boleh janganlah menggunakan kata-kata yang tidak elok. Ibu bapa kena pantau. Kadang-kadang yang beria memberi komentar berbentuk negatif ini, budak-budak tau,” kata pemenang Dewi Remaja 2005/2006 ini.
Ditanya apakah dia tertekan setelah bertubi-tubi menerima kecaman dek kerana imej rambut French Bob yang dipotong sebelum raya baru-baru ini, Scha hanya tergelak kecil.
Tidak sekali dia menyesal, malah mengaku sudah lama menyimpan hasrat untuk memotong rambutnya sependek itu. Maka tidak hairan, dia sangat menyukai potongan rambut tersebut.
“Saya bukan buat benda tidak elok. Potong rambut pendek sahaja. Saya tidak akan buat benda yang saya tidak suka. Mungkin kalau terlalu pendek, suami saya pun tidak izinkan.
“Saya faham kalau tidak semua suka dengan imej ini. Sebab itu saya terima pendapat orang. Cuma saya rasa bebas dan sudah lama menyimpan hajat untuk potong pendek rambut,” katanya yang juga ibu kepada seorang anak, Lara Alana.
Jangan benci saya
Mendapat pujian setelah berjaya menghidupkan watak Rania menerusi drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari, Scha mendedahkan dia ada menerima beberapa pesanan berbaur kebencian dalam laman sosial.
Bersikap positif dan bersyukur peminat menerima lakonan watak jahat yang dibawanya, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini sentiasa berusaha untuk menampilkan kelainan dalam corak seninya.
“Sudah lama sebenarnya saya ingin bawa watak ‘jahat’. Bila mendapat tawaran, saya tak fikir panjang. Lagipun saya cuba tampilkan watak Rania berbeza daripada tipikal watak perempuan ‘jahat’ lain.
“Saya juga sebenarnya bertuah apabila dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat lain seperti Neelofa dan Zul Arifin. Satu pasukan yang cukup baik tidak kira kru produksi dan barisan pelakonnya,” katanya.
Bakal tampil dengan filem baharu, Bikin Filem bergandingan bersama nama-nama hebat seperti Erra Fazira, Sherry Al Hadad dan Azhan Rani, Scha mengaku teruja setelah hampir lima tahun tidak berlakon filem.
Melakonkan watak Zarina yang merupakan pelakon bidan terjun, cabaran yang perlu ditempuh untuk menjiwai watak ini bukan mudah. Perlu bermain emosi sebagai mangsa rogol bapanya, watak Zarina menguji kemampuan Scha.
“Bila saya baca skrip Bikin Filem ini, terus suka dan setuju. Apatah lagi, melihat barisan pelakon yang turut sama bergandingan, saya rasa lebih teruja untuk sama-sama menimba pengalaman dengan pelakon-pelakon handalan.
“Lama juga sebenarnya saya tidak berlakon filem. Jadi saya fikir, inilah masa yang sesuai. Sebab itu saya perlu potong rambut pendek demi menjayakan watak Zarina ini,” katanya.
Ditanya adakah dia dibayar mahal sebagai timbal balas komitmennya memotong pendek rambutnya, seraya tergelak manja Scha menggelengkan kepala. Dia menganggap itu pengorbanan sebagai pelakon.
“Mana ada bayar mahal. Itu komitmen sebagai pelakon. Lagipun saya memang nak potong kan, alang-alang guna peluang itu,” katanya.











