KOTA KINABALU 26 Jun – Kerajaan negeri bersedia membantu mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, selain isu ekonomi dan keselamatan di kawasan perairan dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), kerajaan turut menitiberatkan tentang isu kekurangan tenaga kerja.
“Sebahagian besar pengusaha ladang menzahirkan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan dalam sektor peladangan sehingga dikatakan terpaksa menggaji pekerja asing.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri proaktif membantu masalah ini dan akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Sabah bagi memastikan buruh asing yang dibawa masuk bekerja ke sini mempunyai pas kerja dan dokumen yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Taklimat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Sabah, Datuk Rodzi Md. Saad dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, sebelum dibawa masuk bekerja di negeri ini, semua pekerja asing berkenaan perlu mematuhi polisi dan peraturan ditetapkan.
Direkodkan, pada tahun 2017, Sabah mempunyai sebanyak 137,676 pekerja asing warganegara Indonesia, Filipina, Myanmar dan Nepal yang memiliki pas dan dokumen sah.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 76,603 bekerja dalam sektor perladangan.
Sementara itu setakat Mei 2018, tenaga buruh asing yang bekerja secara sah untuk sektor perladangan adalah sebanyak 25,560 orang. – UTUSAN ONLINE











